Monday, 23 May 2016

KEPENTINGAN PELAKSANAAN DAN PENYEBARAN INOVASI PENDIDIKAN DI SEKOLAH

            1)     Meningkatkan Kualiti Pendidikan

Pelaksanaan inovasi pendidikan di sekolah dapat memberi kesedaran kepada guru tentang penggunaan teknologi terkini yang harus dimiliki oleh guru.  Guru mesti mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berinteraksi dengan teknologi terkini supaya dapat membiasakan generasi kini dengan cara hidup canggih pada abad ke-21.  Antara kemahiran yang harus dimiliki oleh guru adalah dari segi penggunaan multimedia dalam pendidikan dan pemilihan maklumat mengikut kesesuaian tujuan pengajaran dan pembelajaran.  Penguasaan kemahiran selari dengan perkembangan semasa adalah sesuatu yang amat penting bagi meningkatkan profesionalisme keguruan dan kualiti seseorang guru. Guru yang berkualiti pada masa ini mesti mengikuti perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan perkembangan antarabangsa.  Maka, guru inovasi masa kini perlu berkemahiran tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah . Menurut Noriati A. Rashid et al. (2010) guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif



2)      Meningkatkan Keberkesanan Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam melaksanakan inovasi dalam PdP, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh guru. Aktiviti ini sebagai usaha untuk membantu murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid tersebut bahawa mereka sedang belajar melalui aktiviti yang dilaksanakan.  Murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang grafik manakala murid yang kurang berminat untuk belajar, guru boleh mendorong pembelajaran aktif dengan menggunakan audio atau video yang menarik dengan menggunakan peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


3)     Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

Penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif sememangnya merupakan suatu aspek yang amat penting.  Menurut Noraini Idris dan Shuki Osman (2009), guru perlu menyediakan suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap pembelajaran semasa mengajar.  Persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan merujuk kepada iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah.  (Choong Lean Keow, 2009). Pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah terdiri daripada tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran, meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisyen. Selain itu, antara ciri guru berinovasi antara lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.


4)       Menarik Minat Murid untuk Belajar

Pelaksanaan inovasi pelajar pada zaman ini sudah didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat yang terkini dan sekiranya tiada perubahan bagi kurikulum bilik darjah, mereka akan mudah bosan. Halizah Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2009) berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.



Bibliografi

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noraini Idris & Shuki Osman. (2009). Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill.

Noriati A.Rashid et al. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment